MPK Penanjong, PERDA anjur sambutan Hari Raya




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





TUTONG, Ahad, 19 April. - Majlis Perundingan Kampung Penanjong dan Persatuan Pemuda Pemudi Kampung Penanjong (PERDA) telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan dengan penuh meriah berlangsung di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang Penanjong, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.


Majlis pagi itu diserikan dengan persembahan nyanyian Hari Raya dan tarian persembahan dari keluarga Tunggal Sairah.


Pada majlis itu, tetamu kehormat dipelawa bagi berkunjung ke kem-kem Rumah Terbuka Keluarga dan beramah mesra bersama ahli keluarga yang terlibat di setiap kem berkenaan.


Penganjuran majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung, di samping menyediakan ruang untuk para penduduk kampung yang menyertai majlis tersebut untuk berkumpul dan berinteraksi dalam suasana yang penuh harmoni.


Keakraban dalam kalangan penduduk kampung jelas terserlah apabila mereka saling bertegur sapa dan bertukar cerita dalam suasana yang mesra dan santai. Hubungan yang terjalin ini mencerminkan semangat kekitaan yang tetap teguh dalam masyarakat kita.


Secara umumnya, sambutan tersebut bukan sahaja menambahkan kemeriahan suasana Hari Raya, bahkan turut mempererat hubungan silaturahim serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penduduk Kampung Penanjong.

Close